Monday, October 31, 2016

RESAM BERGURU

Al-Imam asy-Syafi’e rahimahullah ketika berusia 12 tahun telah berguru dengan Imam Malik, pelopor Mazhab Maliki.

Kisahnya menghafal kitab Muwatta dalam masa 9 hari sebelum menemui Imam Malik sangat masyhur dan amat menakjubkan.

Ketika di Baghdad, Iraq, beliau juga berguru dengan Imam al-Syaibani, antara murid-murid utama al-Imam Abu Hanifah, iaitu Imam Mazhab Hanafi.

Setelah beliau kembali ke Mekah pada tahun 187H, ketika itu beliau bertemu Imam Ahmad, pengasas Mazhab Hanbali, di mana mereka saling mengambil faedah di antara satu sama lain dalam Fiqh dan Hadits.

Al-Imam asy-Syafie pada hakikatnya telah mempelajari ilmu agama dari aliran dan susur galur Mazhab Maliki, Mazhab Hanafi dan Mazhab Ahmad.

Persoalan yang timbul adalah bagaimana beliau boleh belajar dari ketiga-tiga pengasas mazhab-mazhab dan kemudiannya mempunyai pendekatan tersendiri dan membina mazhab fiqhnya sendiri?

Ini juga bermakna setelah beliau tamat bertalaqqi dan mengambil manfaat ilmu bersama para Imam ini, beliau memilih untuk berbeza pendapat dalam sebahagian perkara-perkara tertentu yang melibatkan agama.

Ternyata ia adalah perkara yang biasa dari dahulu hingga sekarang di kalangan para penuntut ilmu yang berterusan mencari dan berkongsi.

Sehingga apabila mereka sendiri menjadi guru, murid-murid mereka juga melakukan perkara yang sama dan mereka tidak menganggap ianya sebagai pengkhianatan terhadap ajaran mereka.

Demikianlah resam sunnah dalam menuntut ilmu.

Bergurulah dengan ramai guru walaupun berbeza aliran, pendekatan dan kefahaman.

Asalkan teguh di atas jalan al-Quran dan as-Sunnah, diiringi konsisten dalam amal ibadah, serta sentiasa memberi manfaat kepada sesama manusia.

Setelah itu hendaklah seorang murid mengembangkan kajian gurunya walau mungkin hasilnya akan sedikit berbeza dengan keputusan gurunya sendiri.