Thursday, September 22, 2016

MENIKMATI REZEKI

Oleh Salim A. Fillah

Makanan lazat boleh dicari, hidangan mahal boleh dibeli.

Untuk menikmati masakan seorang Chef Lima Bintang Michelin di kota Paris, kita harus mengajukan tempahan berhari2, dengan wang pendahuluan yang cukup untuk biaya hidup di kampung selama berbulan tanpa risau.

Tapi nikmatnya makan adalah rezeki, Allah Yang Maha Memberi lagi Membagi.

Seorang tua di kampung yang mencangkul sejak pukul 07.00 pagi, di jam 10.30 didatangi istrinya. Sebuah bakul di belakangnya, dengan isi amat bersahaja. Nasi pulut bertabur parutan kelapa. Sementara cereknya berisi teh panas.

Peluh dan lelah menggenapkan rasa nikmat di tiap suapan si isteri. Senyum mereka tak terbeli oleh wang ringgit.

Katil paling empuk boleh dibeli. Bilik tidur paling mewah boleh dirancang.

Hotel berlayanan tujuh bintang, Burj Al 'Arab di Dubai dapat menyediakan ruang rehat dengan sewa semalam sama seperti membina rumah di negeri kita.

Tapi nikmatnya tidur adalah rezeki. Allah Yang Maha Memberi lagi Membagi.

Seorang kanak-kanak pemungut sampah berbantal kayu, berkasut kadbod, berselimut akhbar terlelap di atas kereta sorong ibu bapanya pada suatu malam di kota. Begitu nyenyak sampai susah untuk membangunkannya.

Gaji yang tinggi boleh dikejar dengan kerjaya yang cemerlang. Wang yang banyak dapat dikumpulkan dengan memeras keringat hingga kering dan membanting tulang hingga lesu.

Tapi rezeki adalah soal menikmati, Allah Yang Maha Memberi lagi Membagi.

Seorang pengarah sebuah syarikat bergaji besar yang duduk di sebelah saya dalam penerbangan kelas perniagaan hanya memandang cemburu ketika saya menikmati sajian. Saya bertanya mengapa hanya air putih saja yang diteguknya, digenggam erat dalam gelas kaca.

Sungguh berat bagi beliau; nak makan manis, kata doktor, "Jangan Cik, ingat diabetes." Nak makan sedap, kata doktor, "Jangan Cik, ingat kolesterol." Nak makan masin, kata doktor, "Jangan Cik, ingat darah tinggi/hipertension." Nak makan kacang, kata doktor, "Jangan Cik ghaut."

Ah saya membayangkan, berapakah yang dinikmati manusia dari apa yang dia sangka miliknya dan dikumpul-kumpul dan dihitung jumlahnya. Sekiranya 1 bilion ada di akaunnya, lalu pagi tiba malaikat maut menunaikan tugasnya, rezeki siapakah itu sebenarnya? Ahli waris atau bahkan musuh perniagaan.

Allah tak kekurangan cara untuk menghantarnya pada yang sudah ditaqdirkan tertulis di sisiNya.

Betapa benar Al Mushthafa ﷺ ketika bersabda, "Anak Adam berkata, 'Hartaku! Hartaku!' Padahal apalah hartanya itu selain makanan yang dimakannya hingga habis, pakaian yang dipakainya hingga usang, dan apa yang mereka belanjakan di jalan Allah lalu dia dapati Allah membalasnya berlipat ganda di akhirat. "

Rezeki adalah jaminan. Menjemputnya adalah ujian. Bekerja adalah ibadah kita;
'Itqan, ihsan, ikhlas;
bukan mencari rezeki, tetapi mencari pahala.

Sebab kita harus memindahkan kebimbangan, dari yang dijanjikan kepada yang belum dijamin. yakni; akankah kita kembali ke syurga?

WaAllahu a'lam .... semoga Bermanfaat