Tuesday, February 3, 2015

DOSA OH DOSA !

Sejak akhir-akhir ini, bukan menjadi suatu perkara yang pelik bila kita mendengar berita ada orang Melayu Islam yang melakukan perbuatan membunuh diri. Begitu juga perbuatan membunuh orang yang rapat dengannya seperti anak-anak, isteri, saudara mara malah ibu bapa sendiri. Kenapa perkara ini berlaku? Faktor masalah mental, gangguan emosi, makhluk halus, kemurungan atau apa sebenarnya?

PENCERAHAN :
Kalau kita menuding jari kerana perbuatan makhluk halus semata-mata, kasihan makhluk tu... tak pasal-pasal kena fitnah ! Dia pun makhluk Allah juga. Sebab itu pengamal perubatan Islam yang soleh tidak akan sewenang-wenang menyeksa apatah lagi membunuh makhluk tersebut. Sebab mereka juga ciptaan Allah yang dicipta untuk beribadat kepadaNya. Allah telah berfirman;

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ
"Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu." (QS. Adh-Dhariyat : 56)

Itulah jawapan sebenarnya. Bila manusia meninggalkan 'core bussiness' utamanya. Iaitu dicipta untuk beribadat atau mengabdikan diri kepada Allah. Abdi membawa maksud hamba, taat dan patuh yang tidak berbelah bahagi kepada 'Tuan'nya. Bila manusia sudah tidak berwatak sebagai seorang hamba, ingin bebas melakukan atau tidak melakukan apa sahaja maka dia akan terus bergelumang dengan dosa dan berputus asa kepadaNya.

Justeru, ulama' telah membahagikan tingkatan dosa manusia itu kepada beberapa tingkatan, iaitu;

1) Nabi dan Rasul - Mereka bersifat ma'sum iaitu terpelihara daripada melakukan sebarang dosa, sama ada dosa kecil mahupun dosa besar yang boleh mengurangkan kemuliannya sebagai utusan Allah.
2) Orang Soleh - Mereka menganggap dosa itu seperti gunung yang akan menghempapnya. Sedikit melakukan kesilapan terus bertaubat dan memperbanyakkan istighfar kepada Allah.
3) Orang Biasa - Mereka selalu melakukan dosa dan bertaubat kemudian melakukan dosa lagi. Iman mereka kadang-kadang bertambah dan kadang-kadang berkurang. Menyesal tetapi tetap mengulangi lagi dosa itu
4) Orang Fasiq - Mereka memandang remeh dosa yang dilakukan. Dosa dianggap seperti lalat yang hinggap dihidung sahaja yang boleh ditepis dengan mudah menggunakan tangan. Mula-mula rasa berdosa, bila tidak segera bertaubat akhirnya tegal biasa.
5) Orang Munafik - Mereka langsung tidak merasa berdosa setiap kali melakukan dosa. Beribadat dan meninggalkan larangan Allah hanya apabila dilihat oleh manusia. Tidak rasa berdosa menjadi orang munafik.
6) Orang Kufur - Mereka bukan sahaja tidak merasa bersalah melakukan sesuatu dosa malah berbangga melakukannya. Berbangga meninggalkan perintah Allah atau berbangga melanggar laranganNya. Menyanjung perbuatan maksiat dan menghina orang yang bertakwa.

Sebesar-besar kesilapan orang yang melakukan dosa besar seperti berbohong, mencuri, berzina dan seumpamanya, bukanlah semata-mata kerana telah melakukan dosa besar tersebut tetapi dosanya yang paling besar ialah terus menerus melakukan dosa besar tersebut. Putus asa dengan rahmat dan maghfirah dari Allah. Merasakan dirinya begitu hina dan jijik, kotor dan tiada peluang lagi untuk mendapat keampunan Allah.

KESIMPULAN :
Wahai sahabat... Sekiranya kita telah melakukan sesuatu dosa besar, jangan kita asyik fikirkan besarnya dosa yang telah kita lakukan tetapi fikirkanlah lebih besar lagi pengampunan Allah kepada hambaNya. Jika kita rasa sempitnya kehidupan ini, rasakanlah Maha Luasnya Rahmat dan Kasih Sayang Allah kepada kita selama ini. Perkara terbaik yang perlu kita lakukan apabila kita telah melakukan sesuatu dosa ialah berhenti daripada melakukan dosa-dosa tersebut, kembali kepada Allah dan jangan putus asa dari rahmat dan keampunan Allah.

Wallahu A'lam. 

Wassalam...
[04/02 8:25 am] shamsul kamar: Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-68 yang bersidang pada 12 Apr 2005 telah membincangkan Garis Panduan Orang Islam Turut Merayakan Hari Kebesaran Agama Orang Bukan Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

Keputusan :

Dalam menentukan perayaan orang bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam beberapa kriteria utama perlu dijadikan garis panduan supaya ia tidak bertentangan dengan ajaran Islam. Kriteria-kriteria tersebut adalah seperti berikut;

1. Majlis tersebut tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah Islam.

Maksud “bertentangan dengan akidah Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan menyebabkan tercemarnya akidah umat Islam.

Contohnya;

i. menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin, pokok krismas dan sebagainya.

ii. menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama.

iii. meletakkan apa-apa tanda bercirikan agama pada dahi, atau tanda-tanda lain pada anggota tubuh.

iv. memberikan ucapan atau isyarat yang berbentuk pujian kepada agama orang bukan Islam.

v. tunduk atau melakukan perbuatan seolah-olah menghormati upacara agama orang bukan Islam.

2. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak.

Maksud “bertentangan dengan syarak” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan ajaran Islam yang diamalkan oleh masyarakat Islam.

Contohnya:

i. Memakai pakaian berwarna merah seperti santa claus atau pakaian lain yang melambangkan agama;

ii. Menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan dan seumpamanya;

iii. Mengadakan bunyi-bunyian atau hiasan seperti loceng gereja, pokok krismas, kuil atau memecah kelapa;

iv. Mengadakan acara yang berunsur perjudian, penyembahan, pemujaan, khurafat dan sebagainya.

3. Majlis tersebut tidak disertakan dengan “perbuatan yang bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” di negara ini.

Maksud “bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan bertentangan dengan nilai dan norma kehidupan masyarakat Islam Negara ini yang berpegang kepada ajaran Islam berdasarkan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Contohnya:

i. Percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan;

ii. Berpakaian yang menjolok mata;

iii. Mendendangkan lagu-lagu yang mempunyai senikata berunsur lucah serta pemujaan;

iv. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik, laga ayam dan sebagainya.

4. Majlis tersebut tidak disertakan dengan perbuatan yang boleh“menyentuh sensitiviti masyarakat Islam”.

Maksud “menyentuh sensitiviti masyarakat Islam” ialah sesuatu perkara, perbuatan, perkataan atau keadaan yang jika dilakukan akan menyinggung perasaan umat Islam tentang kepercayaan dan amalan mereka.

Contohnya:

i. Ucapan-ucapan atau nyanyian berbentuk dakyah keagamaan bukan Islam;

ii. Ucapan-ucapan yang menghina umat Islam;

iii. Ucapan-ucapan yang menghina agama Islam;

iv. Persembahan yang bertujuan mempersendakan pegangan agama masyarakat Islam.

5. Pihak penganjur dan orang ramai diminta mendapatkan pandangan pihak berkuasa agama sebelum menganjur atau menghadiri majlis perayaan orang yang bukan beragama Islam.