Saturday, January 31, 2015

KERANGKA PEMBANGUNAN BERTERASKAN ISLAM

Prof Madya Dr Muhammad Syukri Salleh 
Projek Pengurusan Pembangunan Islam (IDMP) 
Universiti Sains Malaysia 
 

Setiap disiplin akademik memerlukan kerangka teoritis. Begitulah juga dengan pembangunan berteraskan Islam. Ia bukan sahaja mempunyai pelaku, skala waktu, perkaedahan, peralatan dan matlamat, tetapi juga kerangka yang jelas. Kerangka pembangunan berteraskan Islam adalah berlandaskan kepada ilmu fardhu `ain.

Ilmu fardhu ‘ain merupakan salah satu dari dua bentuk ilmu di dalam Islam, selain dari ilmu fardhu kifayah. Berbeza dengan ilmu fardhu kifayah yang wajib dipelajari dan diamalkan oleh sebahagian ahli masyarakat, ilmu fardhu `ain wajib dipelajari dan diamalkan oleh setiap individu Islam. Kalau fardhu kifayah merupakan tanggungjawab sosial, fardhu `ain merupakan tanggungjawab individu. Oleh kerana hukum mempelajari dan mengamalkan ilmu fardhu `ain adalah wajib, maka sesiapa yang tidak mempelajari dan mengamalkannya dikira berdosa.

Ilmu fardhu `ain ini terbahagi kepada tiga jenis, yakni Ilmu Tauhid, Ilmu Fekah dan Ilmu Tasawwuf. Ilmu Tauhid berhubungan dengan aqidah dan terkandung di dalamnya ialah rukun-rukun Islam dan rukun iman. Ilmu fekah pula berhubungan dengan syari’at. Ia terbahagi kepada empat bahagian (rubu’), yakni bahagian ibadah, muamalat, munakahah dan jinayat. Manakala ilmu tasawuf pula berhubungan dengan akhlak. Ia memandu manusia mengenali sifat-sifat terkeji (mazmuumah) yang ada di dalam diri masing-masing dan menyediakan kaedah menghapuskannya serta menggantikannya dengan sifat-sifat terpuji (mahmudah).

Dengan lain perkataan, ilmu fardhu `ain menyediakan segala kerangka asas kepada manusia dalam mereka melaksanakan tugas sebagai hamba dan khalifah Allah dengan sempurna. Ilmu Tauhid menyediakan akar tunjang agar pembangunan yang diusahakan tidak terpisah dari aqidah dan rasa kehambaan kepada Allah SWT. Ilmu Fekah menyediakan kaedah-kaedah menjadikan usaha pembangunan itu sebagai ibadah. Manakala ilmu tasawwuf menyediakan manusia dengan sifat-sifat terpuji agar pembangunan dapat dilaksanakan dengan jujur, amanah dan berakhlak. Gabungan ketiga-tiga ilmu fardhu `ain inilah yang membentuk satu kerangka pembangunan yang jitu dan harmonis.

Jadi berbeza dengan ilmu fardhu kifayah yang meliputi ilmu-ilmu seperti ilmu pembangunan, perundangan, politik, ekonomi, perubatan, perniagaan dan sebagainya, ilmu fardhu `ain merupakan ilmu asas yang mesti dimiliki dan diamalkan oleh setiap pelaku pembangunan. Mereka mesti bergerak melaksanakan pembangunan berteraskan Islam di dalam lingkungan kerangka fardhu `ain ini.

Namun begitu, ini tidak bererti bahawa ilmu fardhu kifayah mesti diabaikan. Tambahlagi, pembangunan sebenarnya merupakan salah satu dari bentuk fardhu kifayah. Fardhu `ain dan fardhu kifayah sepintas lalu nampak terpisah, tetapi pada hakikat sebenarnya kedua-duanya adalah bersepadu dan tidak boleh dipisahkan. Walaupun pembangunan terletak di dalam kategori fardhu kifayah, namun ia tidak boleh dikatakan pembangunan berteraskan Islam sekiranya ia tidak bertunjangkan kepada ilmu fardhu `ain dan dilaksanakan di dalam kerangka fardhu `ain tersebut. Pembangunan berteraskan Islam tetap mesti bertunjangkan kepada Tauhid (aqidah) serta dilaksanakan mengikut apa yang digariskan ilmu Feqah (syariat) dan Tasawwuf (akhlak).

Selain itu, ilmu fardhu `ain juga merupakan ilmu yang dinamik dan boleh melahirkan pembangunan yang cukup progresif. Misalnya, dalam Tauhid dipelajari bahawa Allah SWT adalah Pemberi rezeki yang mutlak. Manakala di dalam Feqah pula diajari bahawa di dalam perniagaan terdapat sumber rezeki yang banyak, tetapi ianya mesti dilaksanakan secara bersyariat. Antara syariat itu ialah dengan mengadakan `akad jual beli apabila berlakunya sesuatu transaksi perniagaan. Kedua-dua ilmu ini tidak mungkin dapat dihayati dan dilaksanakan kecuali dengan menjalankan perniagaan itu.

Tetapi, barangan apakah yang hendak diniagakan? Di dalam Tasawwuf diajari bahawa makanan itu menempa hati. Oleh itu berniaga makanan yang halal dan suci di sisi Islam mestilah menjadi ke utamaan.

Dari situ lahirlah perniagaan makanan Islam. Kalau pengeluaran makanan selama ini hanya dilakukan oleh orang bukan Islam dan tidak ada walau seorang pun pengeluar dan peniaga beragama Islam yang mengeluarkan dan berniaga makanan halal, maka tindakan mengeluar dan berniaga makanan halal itu adalah merupakan fardhu kifayah.

Dalam kes ini, terbukti bahawa tuntutan fardhu kifayah dapat dipenuhi hasil dari melaksanakan tuntutan fardhu `ain. Tidak mungkin makanan halal dapat dikeluar dan diniagakan tanpa bertunjangkan kepada ilmu fardhu `ain. Makanan halal tidak mungkin dapat dikeluarkan sekiranya pengeluar itu tidak mengetahui ilmu Feqah yang membincangkan tentang syariatnya, tentang hukum-hukum wajib, sunat, haram, makruh dan harus. Begitu juga tidak mungkin pengeluar itu terdorong mengeluarkan makanan halal sekiranya beliau tidak mengetahui bahawa makanan itu menempa hati dan hati yang bersih akan melahirkan manusia berakhlak. Semua ini pula tidak mungkin dapat diusahakan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas kecuali beliau bertunjangkan usahanya penuh kepada rasa kehambaan kepada Allah SWT.

Kedua-dua ilmu fardu `ain dan fardhu kifayah ini sebenarnya bersumberkan kepada Al-Qur’an dan Hadith, yang menyediakan dalil-dalil naqli untuk manusia. Berbeza dengan dalil-dalil aqliyang boleh didapati secara mudah dari aqal pemikiran manusia, dalil-dalil naqlidikurniakan Allah SWT sama ada melalui wahyu atau melalui perkataan dan perbuatan Rasulullah SAW sendiri.

Dalam Sains Sosial Barat, dalil-dalil aqlimerujuk kepada istilah saintifik yang bercirikan pembuktian dan fakta-fakta yang boleh diamati dengan pancaindera. Dalam Islam, ilmu yang menggunakan dalil-dalil aqli ini dipanggil ilmu darurimanakala ilmu yang menggunakan dalil-dalil naqli dipanggil ilmu nadhari. Tahap keyakinan dalam ilmu daruri hanyalah di peringkat `ainul-yaqin, yakni yakin dengan ilmu dan pengetahuan tentang sesuatu benda apabila ia dapat dibuktikan dengan pancaindera semata-mata.

Tetapi keyakinan dalam ilmu nadhariadalah di peringkat haqqul-yaqin, yakni dengan ilmu dan pengetahuan tentang sesuatu benda kerana kebenarannya (haq), walaupun tidak dapat dibuktikan dengan pengamatan pancaindera. Dalam ilmu teori pembangunan lazim khususnya dan Sains Sosial Barat amnya, hanya ilmu daruri saja yang dipakai. Ertinya ia hanya menggunakan aqal dan bersandarkan kepada dalil-dalil aqli. Tetapi di dalam ilmu teori pembangunan berteraskan Islam, bukan sahaja ilmu daruri dan aqal serta dalil-dalil aqli yang dipakai, tetapi lebih dari itu ia juga memakai ilmu nadhari dan dalil-dalil naqli yang kebanyakannya didapati melalui hati.

Jadi terjadinya ilmu fardhu `ain ini sebagai kerangka pembangunan berteraskan Islam adalah kerana berdasarkan kepada sekurang-kurangnya tiga perkara utama. Pertama, ia menyediakan asas yang kuat dan jitu, dengan tunjang Tauhid, perkaedahan syariat dan pelaku pembangunan yang berakhlak. Kedua, ia cukup dinamik kerana pelaksanaannya bukan sahaja memenuhi tuntutan fardhu `ain itu sendiri, tetapi sekaligus memenuhi tuntutan fardhu kifayah dan melahirkan pembangunan berteraskan Islam yang sepadu. Dan ketiga, ia lahir dari sumber mutlak, yakni dari Allah SWT dan Rasulullah SAW sendiri, bukan dari aqal fikiran manusia sepertimana yang berlaku di dalam teori pembangunan lazim